mutakhir

PAS nak tengok hati budi rakan sekutu

Oleh myMetro

Kota Bharu: PAS masih menilai kesungguhan rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada mahu membantu parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar atau memilih Parti Amanah Rakyat (PAN).

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga hari ini, beliau mahupun pucuk pimpinan parti itu tidak mengetahui pihak mana yang akan dibantu PKR memenangkan pembangkang.

“Kita serahkan kepada mereka (PKR) buat pilihan. Nak tahu juga parti itu nak tolong parti mana nanti.

“Kalau PKR nak tolong PAN, PAS tiada masalah kerana kita ada jentera kita sendiri.

“Semuanya terserah mereka sendiri,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci 43 Unit Rumah Teres 2 Tingkat (Fasa 9) dan Pelancaran Jualan 26 Unit Rumah Kedai 2 Tingkat (Fasa 11) Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Pengerusi Profil Impian Mohd Afandi Mohamad.

Sebelum ini, PAS menegaskan tidak tercabar dengan PAN yang meletakkan calonnya bagi dua PRK berlangsung bulan depan.

PAN dijangka mengumumkan calonnya Rabu ini.

Disiarkan pada: May 31, 2016 @ 7:45am
d