mutakhir

Pengemis dua isteri

Oleh Syahid Sokri

Jitra: Sudah ditahan dua kali dalam tempoh empat bulan, namun seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan bagai tidak serik apabila memberi alasan melakukan aktiviti mengemis untuk menyara dua isteri warga Thailand dan anak.

Lelaki berusia 65 tahun dikenali sebagai Rahim dari Padang Terap, di sini, mendakwa wang bantuan bulanan RM350 tidak mencukupi kerana perlu menampung isteri pertama berusia 50 tahun dan isteri kedua berusia 30 tahun serta dua anak berumur 12 dan tujuh tahun.

Dia ditahan bersama dua lelaki lain iaitu warga Thailand dan Vietnam serta seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 70 tahun dalam Op Pengemis oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Kubang Pasu di pasar malam Jitra, di sini, jam 6.30 petang kelmarin.

Rahim mendakwa dia perlu mencari wang tambahan untuk menampung empat ahli keluarganya kerana hanya isteri kedua saja bekerja sebagai penoreh getah di Durian Burung, Padang Terap untuk meringankan beban ditanggungnya.

“Saya tiada pilihan lain, selain menebalkan muka mengemis kerana mahu menyara keluarga disebabkan tidak mampu melakukan pekerjaan lain sebagai sumber pendapatan.

“Dengan bermodalkan RM5 untuk mengisi minyak motosikal rakan, saya mampu memperoleh antara RM50 hingga RM100 dalam masa tiga jam apabila mengemis di pasar malam ini.

“Duit hasil mengemis dibahagi dua dengan rakan dan bakinya diserahkan kepada isteri untuk kegunaan mereka,” katanya.

Menurutnya, walaupun wang diperoleh tidak banyak, namun dia perlu membahagikannya dengan rakan yang menghantarnya ke setiap lokasi pasar malam kerana membantu mencari rezeki.

“Rakan jemput saya di rumah sebelum dibawa ke lokasi mengemis dan dia menjemput semula sebaik tiba masa ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Kedah Mohamad Noor Chik berkata, pihaknya berharap orang ramai lebih berhati-hati bagi mengelakkan tertipu kerana ada sesetengah pengemis berkenaan diupah sindiket.

“Ada juga pengemis warga asing menjalankan operasi haram menggunakan nama agama sebagai cara mendapat wang secara mudah.

“Melalui siasatan JKM ada dalam kalangan pengemis mengaku beragama Islam dengan berlakon memakai tudung sedangkan mereka beragama lain dan hanya muncul menjelang Ramadan,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2016 @ 9:19am
d