mutakhir

Sengsara di sebalik watak peramah

Oleh myMetro

Kuantan: Melihat susuk tubuhnya, lelaki ini kelihatan seperti orang muda selain peramah dan mudah mesra dengan sesiapa saja yang mendekatinya.

Namun, siapa sangka di sebalik air muka jernih itu sebenarnya tersimpan 1,001 rahsia kehidupannya yang penuh dengan linangan air mata.

Dikenali dengan panggilan Pak Do atau nama sebenarnya Abdul Samad Saad, 79, adalah bekas pekerja lombong bijih timah di Sungai Lembing di sini.

Dia mengharungi payah jerih kehidupan kerana bukan saja tinggal seorang diri malah terpaksa berteduh di rumah tidak sempurna.

“Saya tidak pernah merungut kerana faham pembinaan rumah ini tidak dapat disempurnakan kerana masalah faktor pengurusan dan kewangan.

“Dulu, tapak rumah ini adalah rumah kongsi untuk pekerja lombong yang bujang namun selepas kawasan perlombongan ditutup mereka (pengurusan perlombongan) merobohkan rumah kongsi ini dan membina sebuah rumah kecil untuk saya tinggal,” katanya ketika ditemui di Kampung Jelihang, Sungai Lembing, semalam.

Katanya, kesempitan hidupnya mendapat perhatian bekas Ketua Kampung, Tengku Nordin Tengku Rashid yang sanggup bersusah-payah bertemu pihak Giat MARA untuk meminta sumbangan bagi membaiki rumahnya.

Pak Do berkata, walaupun secara keseluruhan rumahnya siap dibina pada 2012, namun ia kelihatan sudah uzur.

Katanya, paling menyedihkan apabila pokok di belakang rumah itu tumbang dan menghempap atap rumahnya, baru-baru ini.

“Rumah saya memang tidak ada elektrik sejak siap dibina.

“Selain terpaksa bertemankan cahaya lilin setiap malam, rumah saya juga tidak mempunyai bilik air,” katanya.

Menurutnya, dia ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, Pak Do sering bertemu dengannya, namun tidak pernah mengadu mempunyai masalah berkenaan.

“Saya kenal penghuni ini, dia seorang lelaki bujang yang sudah lama menetap di Sungai Lembing.

“Sebenarnya, kita sudah tahu masalah yang menyebabkan ketidaksempurnaan pembinaan rumah itu, namun dari segi bekalan elektrik dan air, Pak Do tidak pernah mengadu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memohon bekalan elektrik dengan segera bagi membantu warga emas itu.

Disiarkan pada: May 31, 2016 @ 9:22am
d