mutakhir

Kesepakatan jentera BN

Oleh myMetro

Ipoh: Kerjasama dan kesepakatan ditunjukkan komponen Barisan Nasional (BN) ketika ini adalah tanda positif bagi parti itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jentera UMNO pasti akan bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen itu dikekalkan dengan strategi yang sudah disusun termasuk bantuan komponen BN lain.

“Kerja keras UMNO disokong parti komponen BN lain sudah pasti membuahkan hasil pada PRK kali ini dan saya nampak sudah ada bilik gerakan dibuka MCA, MIC dan GERAKAN.

“Ini menunjukkan usaha kita untuk mempertahankan kerusi ini, sekali gus memberikan keyakinan kepada pengundi untuk terus memilih BN,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sepetang Kepimpinan Sekolah Daerah Kuala Kangsar, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan Kelsom, di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail yang mengumumkan dirinya akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Kuala Kangsar, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata, terpulang kepadanya untuk bertanding kerana negara mengamalkan prinsip demokrasi.

Katanya, keputusannya bertanding sebagai calon Bebas sudah pasti akan dikenakan tindakan sewajarnya, namun terpulang kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk menentukannya.

“Setiap kali pilihan raya pasti ada yang tawarkan diri bertanding, biarkan dia. Apa yang penting BN fokus kepada calon kita (Datin Mastura Mohd Yazid) yang sudah dipilih untuk memenangi PRK kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2016 @ 7:23am
d