mutakhir

'Usah ikuttari mereka'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: “Jangan terikut dengan rentak tari yang dimainkan DAP dan parti komponen Barisan Nasional (BN), jangan sama menari dengan mereka,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian bagi menyelar tindakan sesetengah pemimpin bukan Islam yang terpengaruh dengan dakyah songsang DAP mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.

RUU itu dibawa ke Parlimen minggu lalu oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS.

Bagaimanapun, ia mendapat reaksi kurang senang pemimpin bukan Islam terutama DAP, selain parti komponen BN yang menyifatkan ia agenda politik PAS dan cubaan meraih undi.

Dr Asyraf yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rakyat seharusnya tidak terpengaruh dengan ‘permainan’ sesetengah pihak yang kurang arif Akta 355.

“Akta ini tiada kaitannya dengan hukum hudud yang mahu dilaksana Kelantan. Pindaan ke atasnya juga untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah membabitkan minum arak, zina dan mencuri.

“Kali terakhir kita pinda akta ini pada 1984 dan sekarang peruntukan sedia ada tidak lagi relevan dengan situasi semasa, jadi kita mahu memperkasakannya serta tingkatkan lagi kuasa mahkamah syariah.

“Pemimpin dan masyarakat bukan Islam sepatutnya faham bahawa RUU yang dibawa ini tidak berkaitan dengan mereka kerana ia hanya untuk orang Islam,” katanya.

Terdahulu, Dr Asyraf memberi penerangan berkaitan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta 355 yang turut dihadiri wakil parti komponen BN, GERAKAN, MCA dan MIC, selain badan bukan kerajaan (NGO), di sini, semalam.

Beliau berkata, BN akan mengadakan program penerangan kepada parti komponen di seluruh negara supaya tidak timbul salah faham yang lebih serius mengenai pindaan Akta 355.

“Kita juga akan terus beri penerangan kepada rakyat bahawa pindaan Akta 355 bukan hukum hudud dan masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan membabitkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi MCA Kelantan, Tan Ken Ten berkata, beliau berpuas hati dengan penerangan berhubung pindaan Akta 355 dan berharap tiada pihak yang cuba memutarbelitkan isu itu lagi.

Disiarkan pada: June 1, 2016 @ 7:32am
d