mutakhir

Diabetes awal usia

Oleh myMetro

Pasir Gudang: Sejak berusia 10 tahun, S Sivasangari, 25, dari Bandar Seri Alam di sini, tidak pernah menjalani kehidupan normal kerana menghidap diabetes dan doktor tidak menolak kemungkinan ia mungkin berpunca daripada faktor genetik.

Lebih malang, akibat penyakit dialami itu, saraf Sivasangari juga tidak berfungsi dengan baik hingga secara terbentuk kesan luka pada kulit yang memakan masa untuk sembuh.

Malah, penderitaannya bertambah apabila sejak enam tahun lalu dia hilang upaya untuk berjalan sehingga memaksa doktor mengesyorkan Sivasangari membeli kasut yang mampu menyokong kakinya, malangnya kesempitan hidup membuatkan dia terpaksa melupakannya.

“Jika saya berjalan tanpa menggunakan kasut khas berkenaan, tulang saya yang rapuh juga boleh bertambah buruk hingga mungkin mengakibatkan tidak dapat bergerak.

“Saya juga tidak mahu menyusahkan bapa yang bekerja sebagai penyelia bahagian keselamatan di sebuah pasar raya yang juga perlu menyara ibu yang juga pesakit diabetes,” katanya anak bongsu dari dua beradik itu.

Sivasangari berkata, ibunya M Sellamah, 56, juga kehilangan kaki kanan selepas menjalani pembedahan kerana jangkitan kuman akibat diabetes di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Menurutnya, buat masa ini, dia dan ibu tidak bekerja kerana faktor kesihatan dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan bapa bagi menampung kos rawatan dan perbelanjaan rumah.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja di sebuah pasar raya selama setahun, namun kerana caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) tidak mencukupi, saya tidak layak menerima sebarang tuntutan.

“Dengan pendapatan bapa RM1,300 setiap bulan, kami terpaksa berjimat kerana perlu menyediakan keperluan dapur dan membiayai kos perubatan bulanan berjumlah RM390, selain pemeriksaan susulan dengan doktor bagi rawatan fisioterapi,” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2016 @ 9:23am
d