mutakhir

Dah ketetapan hukum syarak

Oleh myMetro

Kota Bharu: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Dr Najihatussalehah Ahmad, mengingatkan jentera parti itu supaya tidak menjadikan isu ‘idah’ calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid, sebagai alat kempen pada PRK berkenaan 18 Jun ini.

Beliau berkata, tempoh idah yang dilalui Mastura itu adalah ketetapan hukum syarak yang perlu dihormati dan bukannya dijadikan isu dalam kempen PRK Kuala Kangsar nanti.

“Kita tidak akan sentuh isu idah Mastura kerana menghormati ketetapan hukum syarak dan cara mana calon BN berkempen dalam PRK Kuala Kangsar terserah kepada dia sendiri.

“Bagi saya, ia bukan laluan mudah kepada saya untuk menghadapi calon BN kerana parti lawan itu mempunyai kekuatan tersendiri selain jentera yang kuat,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kali ke-56 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

Mastura, balu kepada Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad dipertaruhkan sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar dengan hari penamaan calon ditetapkan, Ahad ini.

Dr Najihatussalehah berkata, walaupun calon BN itu tidak dapat turun padang berkempen secara terbuka, ia bukan jalan yang mudah baginya pada PRK berkenaan, apatah lagi kemungkinan turut membabitkan calon Parti Amanah Negara (PAN).

Menurutnya, BN dilihat mempunyai jentera yang cukup kuat dan sudah tentu parti lawan akan menggunakan seluruh jentera mereka bagi mempertahankan kemenangan di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak itu mengakui peluang untuk partinya tetap ada walaupun bakal berdepan cabaran BN selain kemungkinan PAN turut bertanding pada PRK berkenaan.

Mengulas mengenai PAN yang berhasrat bertanding di PRK Kuala Kangsar, beliau tidak menganggap ia satu cabaran kepada PAS.

Menurutnya, beliau akan mengamalkan pendekatan berjumpa pengundi sejak awal dan berterusan selain berusaha mengekalkan sokongan pengundi Cina pada PRK kali ini.

Disiarkan pada: June 2, 2016 @ 7:27am
d