mutakhir

Basmi denggi habis-habisan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Dalam usaha memerangi wabak denggi secara habis-habisan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah mengeluarkan 256 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik aedes kepada pemilik premis di sekitar bandar raya ini.

Dalam tempoh awal tahun ini sehingga 21 Mei lalu itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 10,840 premis termasuk rumah kediaman, restoran dan rumah kedai.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata, pihaknya bertindak tegas mengeluarkan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Baru-baru ini, kami turut melakukan pemeriksaan di tapak pembinaan di sekitar Seksyen 17 dan Seksyen 22. Empat kompaun dikeluarkan dan dua tapak pembinaan diberi notis penutupan sementara bagi kerja pembersihan.

“Ia menunjukkan bahawa tindakan bersepadu sentiasa dilaksanakan untuk memeriksa lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, selain semburan kabus di 341,404 premis, MBSA mengedarkan pelbagai risalah dan poster berkaitan demam denggi kepada orang awam.

Beliau berkata, pihaknya proaktif menangani masalah itu di kawasan pentadbiran majlis dan menyeru warga Shah Alam memastikan persekitaran kediaman masing-masing berada dalam keadaan bersih dan bebas aedes.

“Pemeriksaan berkala akan dijalankan di lokasi yang berpotensi sebagai tempat pembiakan jentik-jentik termasuk kilang, tapak binaan, institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta, sekolah dan tadika.

“Kami sudah menubuhkan Bilik Gerakan Denggi bagi memantau dan menerima aduan denggi. Orang ramai boleh menghubungi talian 03-55222793 (waktu pejabat) untuk maklumat lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, orang ramai turut digalakkan mengambil masa selama 10 minit setiap minggu untuk memastikan kawasan kediaman dan premis berada dalam keadaan bersih serta kemas.

Disiarkan pada: June 2, 2016 @ 7:29am
d