mutakhir

Hijrah demi cahaya mata

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Demi kasih sayang terhadap anak kandung yang menghidap autisme, sepasang suami isteri rakyat Malaysia nekad berhijrah dan menetap di Jepun bagi memastikan zuriat mereka itu menerima rawatan terbaik.

Pemandu pelancong, Wan Ab Aziz Wan Ahmad, 40, berkata, selepas lebih tiga tahun menetap di Sapporo, kini dia dan isteri, Sufi Norhany Mohd Sufian, 33, bersyukur kerana semakin banyak peningkatan prestasi anak mereka, Wan Ahmad Danial, 8, yang dapat dilihat.

Lebih menggembirakan, ketika ini Wan Ahmad Danial sudah mampu berdikari termasuk pergi ke sekolah sendiri dan menunjukkan perkembangan positif dalam pergaulan dan juga pelajaran.

“Saya dan isteri nekad berhijrah ke Jepun kerana ketika itu kami berpendapat kemudahan dan rawatan terapi untuk kanak-kanak autisme di sana lebih maju dan moden berbanding di negara kita.

“Namun, saya difahamkan kepekaan masyarakat dan kerajaan Malaysia terhadap golongan autisme kini makin meningkat. Banyak kemudahan dan pusat pemulihan kanak-kanak autisme dibina, Alhamdulillah, ini suatu yang baik untuk golongan autisme di negara kita,” katanya ditemui Harian Metro di Sapporo, Jepun, baru-baru ini.

Wan Ab Aziz berkata, sebelum menerima rawatan terapi, pegawai bertugas perlu menjalankan penilaian keadaan spektrum yang dihidapi anak tunggalnya itu.

Katanya, selepas keputusan penilaian anaknya diketahui, dia diarah merujuk ke pejabat daerah untuk diberi penerangan mengenai kategori dan tahap autisme.

“Bayaran dikenakan di sini agak berpatutan walaupun menerima pelbagai sesi terapi berlainan. Dalam tempoh setengah tahun, perubahan ketara dapat dilihat,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Ab Aziz berkata, kelebihan terapi di Jepun, setiap perkembangan anak dikongsi bersama antara ibu bapa dan juruterapi dicatatkan secara menyeluruh di dalam buku nota perhubungan untuk rujukan kedua-dua belah pihak.

Ibu bapa kanak-kanak autisme di Jepun katanya turut dibabitkan dalam proses terapi.

Berkongsi kisah dirinya, Wan Ab Aziz berkata, dia adalah bekas pelajar program rancangan khas ke Jepun di bawah Dasar Pandang ke Timur bagi sesi 1994/1995 di Universiti Malaya.

Katanya, dia menyambung pelajaran dalam jurusan kejuruteraan maklumat di Chiba Universiti, Jepun pada 1996 dan sebaik tamat, dia bekerja di beberapa syarikat sebelum bertemu dengan isteri yang belajar di universiti sama.

“Selepas tsunami 2011, kami kembali ke Malaysia dan saya bekerja di Japan Travel Bureau (M) Sdn Bhd (JTB Malaysia) sebelum nekad berhijrah dan menetap di Jepun pada 2013,” katanya.

Wan Ab Aziz berkata, dengan pengalaman bekerja di JTB, dia akhirnya bekerja sebagai pemandu pelancong bebas hingga kini manakala isterinya pula bertugas sebagai doktor di Hospital Universiti Hokaido.

Disiarkan pada: June 2, 2016 @ 9:03am
d