mutakhir

Masih mitos

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penemuan bahan artifak dan perbahasan mengenai kewujudan Hang Tuah yang dilakukan beberapa pihak sebelum ini masih gagal meyakinkan tokoh sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengenai kewujudan pahlawan Melayu itu.

Menurutnya, kewujudan pahlawan Melayu itu hanya boleh disahkan apabila pihak berkaitan seperti ahli akademik dan sejarah boleh mengemukakan bukti sahih.

Beliau tidak mempertikaikan kewujudan pahlawan Melayu itu cuma mahu fakta dan bukti demi memastikan Hang Tuah bukanlah mitos semata-mata.

“Saya tidak mahu buat kesimpulan (mengenai kewujudan Hang Tuah), apa yang penting adalah bukti.

“Macam mana nak dapatkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) Hang Tuah jika dia tidak pernah turun daripada Gunung Ledang selepas rundingan untuk mendapatkan Puteri Gunung Ledang dengan Sultan Melaka gagal,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Arkib Universiti Malaya di Perpustakaan Utama UM di sini, semalam.

Khoo berkata, jika benar terdapat bukti seperti diperoleh penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menemui beberapa artifak di Jepun dan India berhubung kewujudan pahlawan Melaka itu, perlu disertakan dengan bukti.

“Jika ada (bukti), mungkin kita boleh terima, tetapi setakat jumpa artifak dan bergantung hikayat, ia tidak kuat membuktikan kewujudan Hang Tuah.

“Dokumen China juga tidak mencatatkan nama Hang Tuah sebaliknya disebut sebagai ‘Laksamana’, manakala Hikayat Hang Tuah pula tidak dianggap ‘historiografi’ yang tepat,” katanya.

Beliau berkata, pengisahan sejarah Hang Tuah digarap dalam pelbagai versi malah tidak tahu versi yang mana satukah boleh dijadikan rujukan tepat kepada ahli sejarah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pasukan pengkaji sejarah Hang Tuah UPM mengambil sampel DNA di setiap kubur yang dikenal pasti milik pahlawan berkenaan untuk memperoleh bukti sahih kewujudannya.

Disiarkan pada: June 2, 2016 @ 9:13am
d