mutakhir

Rela korban cuti sekolah bantu ayah di bengkel

Oleh myMetro

Jerantut: Kasihan melihat bapanya yang bertongkat untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga, seorang murid tahun enam mengambil keputusan membantu ketua keluarganya itu melakukan kerja di bengkel berkenaan sepanjang cuti persekolahan ini.

“Walaupun rakan lain leka bermain pada waktu cuti ini, saya lebih suka berada di bengkel membantu ayah selain dapat belajar benda baru setiap hari,” kata Muhammad Hafizuddin Noor Kamarizuan, 12, yang juga murid Sekolah Kebangsaan Bandar Jerantut (SKBJ), di sini.

Bapanya, Noor Kamarizuan Nordin, 42, membuka bengkel kereta ‘Jasa Murni Workshop’ pada 2003 di Kampung Melayu, di sini.

Namun, bapa kepada empat anak itu berdepan kesukaran melakukan kerja selepas terbabit kemalangan pada Mac lalu menyebabkan kaki kirinya patah.

Kaki kirinya dimasukkan besi dan kini berjalan menggunakan tongkat.

Muhammad Hafizuddin berkata, dia rela ‘membuang’ masa cuti persekolahan dengan membantu bapanya di bengkel itu asalkan dapat menyumbang sesuatu yang berguna kepada keluarga.

“Selain membantu keluarga, saya memang berminat bidang automotif dan peluang yang ada pada cuti sekolah ini digunakan untuk tujuan itu, sekali gus mempelajari teknik membaiki kereta.

“Kali pertama ayah membawa saya ke bengkel tiga tahun lalu, sejak itu saya mula meminati hendak belajar cara membaiki kereta,” katanya.

Dia yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, walaupun bapanya ada memberi upah setiap kali selepas bekerja, ia sebagai pembakar semangat terus menabur bakti kepada keluarga.

“Perkara lebih penting adalah apa yang saya pelajari di bengkel, ia dapat digunakan satu hari nanti.

“Walaupun saya hanya diajar dan diberi tugas sekadar membuka tayar, mengetatkan skru dan menukar minyak hitam, ia amat menyeronokkan, di sekolah tidak diajar ‘bermain’ dengan alatan mekanik ini.

“Saya tidak malu kelihatan kotor, muka dan tangan saya akan hitam kerana terkena minyak setiap hari tapi bagi saya kotor pada muka itu nampak seperti gagah,” katanya bercita-cita memiliki bengkel kereta sendiri.

Muhammad Hafizuddin berkata, dia bertanggungjawab membantu Noor Kamarizuan kerana keadaan bapanya itu kini tidak begitu mengizinkannya bekerja seperti dulu.

Disiarkan pada: June 4, 2016 @ 5:07am
d