mutakhir

Tutup laluan 7 jam sempena PRK

Oleh myMetro

Sungai Besar: Beberapa laluan di pekan ini terutama berhampiran Dewan Seri Bernam akan ditutup selama tujuh jam esok untuk proses penamaan calon.

Laluan antara persimpangan Jalan Abu Samah hingga persimpangan Jalan Menteri di Jalan Teluk Intan-Klang ditutup mulai jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil P93 Sungai Besar Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, kenderaan melalui Sungai Besar dilencongkan ke laluan berdekatan sebelum memasuki semula Jalan Teluk Intan-Klang selepas kedua-dua persimpangan itu.

Beliau berkata, kenderaan dari Sabak Bernam dilencongkan ke arah kanan memasuki Jalan Menteri sebelum ke Jalan Kuala Selangor Lama dan memasuki Jalan Abu Samah seterusnya kembali ke laluan asal.

“Kenderaan dari arah Sekinchan dilencongkan ke kiri memasuki Jalan Abu Samah, Jalan Kuala Selangor Lama dan Jalan Menteri sebelum memasuki semula laluan asal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, semalam.

Sementara itu, Khalil berkata, semua parti bertanding ditempatkan di lokasi berbeza.

“Penyokong Barisan Nasional (BN) berkumpul di Jalan Bunga Matahari dan parkir kenderaan serta bas di Jalan Loceng Kuning sebelum mereka bergerak melalui Jalan Pegawai memasuki Jalan Dewan.

“Penyokong PAS pula ditempatkan di Jalan LPN 2 sebelum memasuki Jalan Pegawai dan masuk ke kawasan Dewan Seri Bernam melalui pintu belakang. Penyokong Parti Amanah Negara (PAN) diletakkan di Jalan Abu Samah sebelum memasuki Jalan Dewan melalui Jalan Persekutuan (Jalan Teluk Intan -Klang) dan berhenti di pintu Majlis Daerah Sabak Bernam,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2016 @ 5:13am
d