mutakhir

Ramaikan rakan [METROTV]

Oleh myMetro

Kota Bharu: PAS akan mengambil pendekatan dengan menambah bilangan rakan sebanyak mungkin dalam menterjemahkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang mahu dipelopori parti itu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan mendekatkan diri dengan parti politik yang mempunyai persamaan dengan PAS dan memaafkan perbezaan sedia ada.

“Kita perlu mengambil pendekatan strategik dengan meramaikan rakan sebanyak mungkin dan bukan meramaikan musuh.

“Di atas konsep ini, kita bukan saja mendekatkan diri dengan parti politik yang mempunyai titik persamaan dan memaafkan perbezaan yang ada,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Agung Tahunan PAS ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan polemik bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 adalah sama dengan undang-undang hudud dan qisas

“Suka saya jelaskan di sini, saya tertarik dengan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang turut menjelaskan usu mengenai RUU itu bertujuan untuk menaiktarafkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Keributan usul memperkasakan Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat tidak patut berlaku jika semua pihak faham Perlembagaan (Persekutuan),” katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Abdul Hadi meminta semua ahli PAS menyokong calon yang dipilih oleh pimpinan dengan membantu menggerakkan jentera parti.

“Kalau nak cari calon orang setuju 100 peratus memang payah. Kita cuba Kuala Kangsar dan Sungai Besar untuk terima keputusan parti.

“Keputusan ini dibuat berasaskan kita punya cawangan dan ahli asal usul untuk bertanding di situ. Sepatutnya rakan kita meraikan perkara itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2016 @ 5:13am
d