mutakhir

Rasai derita anak

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Sepasang suami isteri terpaksa memberi sepenuh tumpuan ke atas anak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) yang diserang penyakit saraf sejak kecil.

Abd Rahman Saad, 69, dan isterinya, Halijah Mohamad, 59, dari Kampung Bukit Perenggan Charok Kangar, Kupang, tabah menjaga anak mereka, Abd Ghani, 38, yang hanya terlantar di tempat tidur dan memerlukan bantuan untuk menguruskan dirinya.

Halijah berkata, sebelum ini, anaknya boleh mengensot di dalam rumah dan mampu ke bilik mandi tetapi kini dia terbaring sepanjang masa sejak 10 tahun lalu .

Menurutnya, makan dan minum untuk anaknya itu perlu disuap, manakala ke bilik mandi terpaksa diusung kerana dia tidak mampu lagi menguruskan diri seperti 20 tahun lalu.

“Saya tetap tabah menjaga dan tidak pernah rasa jemu menemaninya kerana dapat merasai perasaannya sepanjang terbaring di tempat tidur.

“Saya dan suami akan menjaga anak ketiga daripada empat beradik ini tidak mengira waktu dan membawanya mendapat rawatan ke Hospital Baling (HB) ketika memerlukan rawatan,” katanya ketika menerima kunjungan Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, baru-baru ini.

Halijah berkata, suaminya hanya menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu bergantung hari menoreh dan bersyukur apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan RM300 setiap bulan bagi meringankan beban ditanggung.

“Wang itu untuk keperluan anak saya seperti lampin pakai buang, susu dan ubat-ubatan.

“Saya juga berharap ada pihak yang menghulurkan bantuan seperti lampin pakai buang bagi menampung keperluan untuknya memandang usianya sudah meningkat dan kos itu juga tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2016 @ 5:16am
d