mutakhir

Damailah Kyairiel [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Tampin: Perjalanan hidup kanak-kanak obesiti yang menderita penyakit sawan dan jangkitan kuman pada paru-paru berakhir apabila dia dijemput Ilahi, awal pagi semalam.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu pernah mempunyai berat badan 18.1 kilogram (kg) ketika berusia setahun, namun berat badannya susut mendadak kepada 9.5kg akibat penyakit dihidapi.

Semuanya sudah tertulis, Kyairiel Mikhail Khairul Shafiq menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.35 pagi di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di samping ibu bapanya.

Sebelum itu, Kyairiel Mikhail dimasukkan ke hospital berkenaan pada 20 Mei lalu dan tidak sedarkan diri selama 13 hari selain terpaksa bergantung dengan mesin bantuan pernafasan.

Bapa, Khairul Shafiq Nor Azmi, 28, berkata anaknya mengalami kesukaran bernafas pada malam 20 Mei lalu sebelum dibawa ke Hospital Tampin dan terpaksa dipindahkan ke HTJS kerana keadaannya semakin teruk termasuk pendarahan dalam perut akibat jangkitan kuman.

Menurutnya, Kyairiel Mikhail kerap dimasukkan ke hospital sebelum ini, namun keadaan kali ini semakin teruk dan doktor tidak memberi jaminan pernafasannya mampu dipulihkan.

“Bagaimanapun, awal pagi tadi (semalam) degupan jantung anak saya semakin lemah dan dia menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.35 pagi. Kami reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Meskipun sedih kerana dia pergi lebih awal, saya reda kerana tidak sanggup melihat anak bongsu daripada tiga beradik itu terus menderita,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tampin, semalam.

Disiarkan pada: June 4, 2016 @ 5:40am
d