mutakhir

Port baru lepas gian

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Sebelum ini ‘port’ kegiatan penagihan dadah yang sinonim di kawasan bandar adalah bawah jambatan, rumah tinggal dan ada yang melepaskan gian di kaki lima bangunan.

Manakala, di kawasan kampung dan FELDA satu ketika dulu pula, penagih memilih kawasan semak, ladang kelapa sawit serta tangki air.

Begitulah senario aktiviti penagihan sejak sekian lama, namun usaha membanterasnya begitu sukar walaupun tangkapan demi tangkapan dilakukan.

Ini berikutan penagih lama walaupun sudah menjalani beberapa kali pemulihan tetap kembali semula ke tabiat asal.

Masalah penagihan dadah kini lebih buruk apabila kecenderungan penagih memilih dadah sintetik seperti syabu dan ekstasi.

Dalam serbuan pihak berkuasa ke atas pusat hiburan mendapati golongan remaja banyak terbabit dalam pengambilan dadah jenis itu bagi tujuan mencari keseronokan.

Port pengedaran dan aktiviti penagihan terutama di ibu negara kini beralih arah apabila ada golongan penagih menjadikan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) lokasi mereka berkumpul untuk berkhayal.

Situasi membimbangkan itu memberi kesan buruk kerana pengaruh dadah cukup kuat dan boleh menyebabkan pertambahan bilangan penagih terutama golongan remaja.

Dalam operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) dijalankan Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini, beberapa flat PPR di Brickfields, Cheras dan Sentul diserbu selepas dilaporkan wujud aktiviti penagihan dalam kalangan penduduknya.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, pihaknya melakukan serbuan ke PPR Sri Pantai, PPR Taman Mulia dan PPR Beringin.

Menurutnya, hasil serbuan dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, seramai 129 individu diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 47 individu termasuk lima wanita positif ganja, heroin dan methamphetamine.

“Serbuan yang dijalankan bersama beberapa agensi penguat kuasa lain susulan aduan penduduk yang bimbang penempatan mereka menjadi tumpuan penagih dadah,” katanya.

Beliau berkata, penduduk turut bimbang dengan kehadiran penagih dadah ke kawasan penempatan mereka.

“Ketakutan penduduk ada asasnya kerana golongan penagih sering dikaitkan dengan kes jenayah seperti kecurian, pecah rumah dan pergaduhan.

“Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi menjadikan kawasan PPR ini bersih daripada sebarang aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu juga, pihaknya mendapati ada pemilik rumah menyewakan kediaman kepada individu lain yang menyalahgunakan kemudahan itu untuk aktiviti penagihan dadah.

“Penagih bukan saja daripada penduduk, malah turut menjadi tumpuan orang luar untuk melepaskan gian.

“Perbuatan itu jelas melanggar peraturan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan menarik semula rumah berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2016 @ 5:04am
d