mutakhir

Memang sayang tapi...

Oleh Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Biarpun pernah berada di ambang maut sewaktu menjalankan misi kemanusiaan termasuk ditahan tentera Israel dalam kapal Mavi Marmara dan menjadi tebusan Daish di Syria, namun dia tidak pernah serik untuk terus melakukan perkara sama.

Terkini, Pengerusi Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MASSSA) Mustapa Mansor Amer Mohd Isa bakal berangkat ke Selatan Thailand pada 21 hingga 24 Jun ini untuk misi bantuan Ramadan di Penjara Sadao serta penempatan miskin di Pattani.

Menurutnya, cinta untuk melakukan kerja sukarelawan bersama-sama sahabat badan bukan kerajaan (NGO) tidak luntur walaupun tahu akan menghadapi rintangan.

“Pada pandangan saya, kita mempunyai tanggungjawab membantu dengan apa yang terdaya khususnya saudara Islam yang kesusahan.

“Buat masa ini NGO kami masih mengumpulkan barangan bantuan termasuk dari kariah masjid yang bersetuju dan semua barang ini akan diagihkan kepada pemegang amanah beberapa penjara di Sadao bagi urusan penyediaan makanan halal khususnya untuk pelarian Rohingya dan Uighur.

“Misi bantuan diteruskan ke daerah Pattani bagi membantu saudara kita yang hidup miskin. Ada lebih 5,000 anak yatim dan 6,000 janda di sana akibat konflik di Pattani. Misi ini mendapat kerjasama pihak mufti kerajaan Thailand,” katanya.

Sementara itu, Mustapa Mansor turut menawarkan kepada sesiapa yang berminat memiliki beberapa barangan anugerah termasuk daripada bekas Perdana Menteri Palestin Dr Ismail Haniyeh dan briged al-Qassam untuk jualan amal.

Menurutnya, wang hasil jualan akan disalurkan semula kepada penduduk Gaza memandangkan masih ramai perlu dibantu di sana.

“Kalau diikutkan rasa, memanglah sayang sebab ia adalah penganugerahan daripada bekas Perdana Menteri Palestin Dr Ismail Haniyeh. Mungkin beberapa orang saja di dunia ini yang ada selendang leher eksklusif dengan tandatangan seperti itu.

“Tapi mengenangkan lebih ramai yang perlu dibantu di sana, saya akan gunakan wang hasil jualan ini untuk disalurkan kepada saudara seagama kita. Maknanya daripada Gaza saya terima penghargaan ini, kepada Gaza juga saya akan kembalikan manfaatnya. Semoga ada yang menerima faedahnya,” katanya.

Dua helai selendang leher dan sehelai bendera berlogo al Qassam, yang diterimanya ketika misi kemanusiaan di Gaza pada 2011 dan 2012, siap dengan tandatangan Ismail yang juga pemimpin Hamas, disimpan rapi serta dibingkaikan.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana badan korporat atau individu yang mahu membeli koleksi cenderahati kesayangannya itu boleh berhubung terus untuk sebarang maklumat lanjut di talian 011-27666042.

Ia akan dijual kepada yang berminat untuk mendapat dana bagi membantu rakyat Palestin.

Disiarkan pada: June 5, 2016 @ 5:08am
d