mutakhir

3 jam 134 salah

Oleh Nursyahirah Marzuki

Dengkil: Sebanyak 134 kesalahan direkodkan dalam operasi bersepadu selama tiga jam yang dijalankan beberapa agensi penguat kuasa di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil arah Utara Lebuhraya ELITE, kelmarin.

Operasi membabitkan 94 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Puspakom, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, setiap agensi penguat kuasa yang terbabit mengeluarkan notis, saman dan menahan serta melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu kenderaan.

Katanya, PDRM mengeluarkan 44 saman atas pelbagai kesalahan, JPJ (34 notis dan 14 saman), SPAD mengeluarkan lima notis termasuk menyita sebuah teksi manakala AADK melakukan ujian saringan terhadap lapan individu yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah.

“Seorang daripada lapan individu terbabit adalah pemandu teksi yang membawa dua penumpang menghala ke Kuala Lumpur. Kedua-dua penumpang ditukarkan ke teksi lain bagi menjaga keselamatan mereka,” katanya selepas Operasi Bersepadu Pelbagai Kesalahan dan Perdagangan, di sini.

Disiarkan pada: June 5, 2016 @ 5:10am
d