mutakhir

Satu-satunya Muslim Malaysia

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Menjadi satu-satunya pemandu pelancong Muslim Malaysia di Hokkaido, Jepun, satu kelebihan dan juga cabaran buat dirinya.

Namun, anak jati Kelantan, Wan Ab Aziz Wan Ahmad, 40, cekal menghadapi bermacam cabaran berikutan nekad berhijrah dan menetap di Jepun bersama keluarganya sejak 2013.

Menurutnya, antara sebab dia menceburi bidang pelancongan biarpun mempunyai ijazah dalam kejuruteraan maklumat kerana menganggap ia satu ibadah iaitu membantu pelancong beragama Islam yang melancong ke negara Matahari Terbit itu.

Katanya, antara masalah utama dihadapi pelancong beragama Islam jika melancong ke negara bukan Islam ialah mencari makanan halal dan tempat solat.

“Apabila lebih ramai pelancong Islam datang ke Jepun, lebih bagus untuk komuniti muslim di sini. Makin banyak tempat makanan halal dan ruang solat akan disediakan pengusaha hotel, rumah tumpangan, restoran dan sebagainya untuk pelancong di sini dan kami yang tinggal di sini juga dapat menggunakannya,” katanya ditemui di Sapporo, Jepun, baru-baru ini.

Wan Ab Aziz yang juga lulusan Universiti Chiba berkata, pengalaman bekerja dengan Japan Travel Bureau (M) Sdn Bhd (JTB Malaysia) dua tahun mulai 2011 banyak membantu kerjayanya apabila mendapat ramai kenalan termasuk pelancong.

Katanya, segala-galanya bermula apabila dia dipelawa mengikuti rombongan pelancongan untuk agensi pelancongan dari Malaysia ke Hokkaido pada 2011.

“Dalam rombongan itu, 16 pelancong yang lain bukan Muslim. Pada masa itu kebanyakan pengusaha pelancongan di Hokkaido kurang mengetahui pasaran pelancong muslim terutama soal makanan halal, jadi tiada makanan halal yang khusus disediakan untuk saya.

“Bila waktu makan di hotel saya hanya pilih ikan dan sayuran, lalu pengurus hotel bertanya mengapa saya tidak makan makanan lain yang disediakan. Jadi, saya mula terangkan makanan yang orang Islam tidak boleh makan, keperluan tempat solat dan sebagainya secara ringkas.

“Kesungguhan orang Jepun menakjubkan, walaupun orang Islam yang melawat Hokkaido tidak ramai ketika itu, mereka tetap nak memenuhi keperluan pelancong Muslim dan sebagaimana dapat dilihat pada hari ini, makin banyak yang peka soal makanan halal dan sebagainya,” katanya yang fasih berbahasa Jepun.

Kata Wan Ab Aziz, seorang demi seorang pengurus hotel menghubungi untuk berjumpa dengannya walaupun sesudah pulang ke Malaysia bagi mengetahui lebih lanjut mengenai potensi pelancongan Islam terutama dari Malaysia.

“Inilah permulaan pembabitan saya sebagai pemandu pelancong bebas untuk bantu tarik lebih ramai pelancong Muslim ke Jepun,” katanya.

Menurutnya, dia sememangnya meminati pelancongan, tetapi tidak terfikir ia menjadi sebahagian kerjayanya.

Disiarkan pada: June 5, 2016 @ 5:14am
d