mutakhir

'Lolos' diri dalam sungai [METROTV]

Oleh myMetro

Kota Bharu: Dalam usaha untuk meloloskan diri daripada ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang lelaki berusia 20-an memandu terus ke dalam sungai di Kampung Demit, Kubang Kerian dekat sini, jam 12.30 tengah hari semalam.

Terdahulu, lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di depan bank di pekan berkenaan dan apabila diminta menurunkan cermin Honda Civic dipandunya, dia terus memecut.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) JPJ Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kejadian berlaku ketika pihaknya menjalankan Ops Khas kereta klon.

“Daripada segi fizikal, Honda Civic terbabit terbukti kereta klon dari Singapura. Kami mengetuk cermin kereta berkenaan dan meminta pemandunya menyerahkan lesen memandu.

“Bagaimanapun, lelaki itu terus memecut dan masuk ke Kampung Demit. Selepas memasuki kawasan perkampungan, dia memecut sejauh kira-kira 500 meter sebelum kenderaan terbabit terjunam ke sungai.

“Bagaimanapun, lelaki itu sempat keluar dan berenang ke tebing sungai. Kereta itu pula tenggelam kira-kira sejam kemudian. Kami kemudiannya melaporkan kejadian di Balai Polis Kubang Kerian,” katanya.

Menurut beliau, jam 4 petang, anggota Balai Polis Kubang Kerian dapat menahan lelaki terbabit yang bersembunyi di kawasan hutan berdekatan lokasi kejadian.

“Honda Civic terbabit pula dapat dinaikkan jam 8.30 malam dengan bantuan Pasukan Penyelamat Dalam Air Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2016 @ 5:17am
d