mutakhir

2 lokasi dikenal pasti

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Polis sudah mengenalpasti dua lokasi di sekitar ibu kota yang kerap dikunjungi lelaki warga British penjenayah pedofilia, Richard Huckle, 30.

Sumber polis memaklumkan, pihaknya turut pergi ke lokasi berkenaan dalam usaha mengenal pasti kanak-kanak yang didera secara seksual oleh lelaki warga asing terbabit.

“Lokasi berkenaan membabitkan kawasan yang pernah di kunjungi suspek iaitu di sekitar Jalan Kuching dan Taman Tun Dr Ismail di sini.

“Malah suspek dipercayai pernah tinggal di Taman Tun Dr Ismail,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, pihak polis sudah merakam percakapan seorang saksi berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, kes itu kini disiasat sepenuhnya JSJ Bukit Aman.

Sementara itu, enam pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) turut menggesa supaya individu atau keluarga kanak-kanak yang menjadi mangsa cabul warga British itu tampil membuat laporan bagi memudahkan polis membuka kertas siasatan.

Enam NGO terbabit membabitkan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (lRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC).

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili semua NGO terbabit berkata, mangsa tidak perlu takut atau malu untuk berbuat demikian bagi memastikan lelaki pedofilia terbabit menerima hukuman setimpal.

“Kita harap mangsa atau keluarga tampil membuat laporan polis dengan segera supaya polis dapat membuka kertas siasatan segera.

“Kami harap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyiasat kes berkenaan hingga ke akar ubi,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Disiarkan pada: June 5, 2016 @ 5:18am
d