mutakhir

Hapus dosa, tambah pahala

Oleh Shahrizal Nasir

Manusia biasa tidak pernah sunyi daripada melakukan dosa sama ada secara tersembunyi mahupun terang-terangan, besar ataupun kecil. Namun, sebaik-baik manusia berdosa ialah mereka yang bertaubat kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Setiap anak keturunan Nabi Adam banyak melakukan dosa dan sebaik-baik orang yang banyak melakukan dosa adalah orang yang banyak bertaubat.” (Riwayat Ibnu Majah)

Orang yang hidupnya sering melakukan dosa, namun pada suatu ketika dia berasa ada sesuatu tidak kena dan berasa perlu kembali ke pangkal jalan, maka inilah dikatakan satu anugerah daripada-Nya.

Justeru, marilah kita menghitung dan menyesali dosa lalu. Manfaatkan waktu dan kesempatan yang ada untuk memohon keampunan dan melaksanakan tuntutan-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Dalam riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampunan kepada-Nya, kerana sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari seratus kali.”

Pada Ramadan ini, marilah kita melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan kesempurnaan supaya kita beroleh ganjaran istimewa termasuk keampunan daripada-Nya.

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap (pahala), maka dosanya yang lalu diampuni.” (Riwayat al-Bukhari an Muslim)

Dalam kesungguhan kita untuk mendapatkan ampunan daripada-Nya, kita juga perlu tekun melaksanakan ibadat yang lain terutama solat. Jangan hanya berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat.

Ketekunan kita pula tidak terbatas kepada solat wajib lima waktu, sebaliknya turut membabitkan solat sunat.

Sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sesiapa melakukan qiam (malam) Ramadan kerana iman dan mengharap (pahala), nescaya dosanya yang lalu diampuni.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah, kita perlu memperbanyakkan amalan kebaikan lain seperti bersedekah dan menjamu orang berbuka puasa. Ambillah kesempatan Ramadan untuk melakukan semua ini kerana ganjarannya sangat besar.

Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa memberi makan untuk berbuka orang berpuasa adalah baginya seumpama pahala mereka tanpa berkurang pahala mereka sedikit pun.” (Riwayat Ibnu Majah)

Inilah peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Inilah waktu untuk kita memupuk diri agar rajin beribadat dan gemar melakukan kebaikan, sekali gus membuktikan kita adalah hamba yang tahu bersyukur.

Kesibukan kita pada Ramadan mesti terarah kepada ibadat. Kita membaca al-Quran, berzikir, rukuk dan sujud kepada-Nya. Kita memakmurkan masjid dengan solat secara berjemaah.

Usah terbawa-bawa dengan perangai lama pada bulan selain Ramadan seperti banyak tidur dan asyik menghadap televisyen. Sedarlah, waktu bergerak pantas dan usia semakin meningkat.

Penulis pensyarah UniSZA

Disiarkan pada: June 6, 2016 @ 7:28am
d