mutakhir

Rentung tersepit

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Temerloh: Seorang lelaki rentung akibat tersepit di tempat duduk selepas kereta Nissan Sunny yang dipandu terbabas dan terbakar di Kilometer 137, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, Mentakab, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, R Ravinaran,49, dari Taman Saujana, Mentakab, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dikeluarkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa memandu dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Mentakab.

“Sebaik tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang di kiri jalan mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduknya sebelum kereta tiba-tiba terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab yang menerima panggilan orang awam bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir setengah jam untuk memadamkan kebakaran sebelum mengeluarkan mayat mangsa.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, siasatan turut mendapati, ketika kejadian keadaan jalan gelap kerana tiada lampu jalan, manakala permukaan jalan kering serta cuaca baik.

Mohd Noor berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 6, 2016 @ 11:26am
d