mutakhir

Rebah di pentas

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: “Sebelum ini, arwah ada mengadu pada isterinya yang dia sakit dada, namun selepas itu kembali pulih seperti biasa,” kata Mohamed Izzamudin Shariff, 57, abang kepada gitaris Kumpulan Crosstown, Izharuddin Shariff, 55, yang meninggal dunia akibat serangan jantung sebaik selesai mengiringi persembahan Awie pada majlis penutupan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (Penbex) 2016 di Dataran Transformasi Usahawan di Kubang Menerong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Izharuddin yang lebih dikenali sebagai Ajan, dilaporkan tiba-tiba rebah di atas pentas ketika kumpulan itu mahu bergambar bersama Awie.

Mohamed Izzamudin, 57, yang juga ahli kumpulan itu berkata, rakan cuba membantu Izharuddin yang masih bernafas ketika itu.

“Keadaan agak kelam-kabut kerana ramai peminat masih berkumpul ketika kami dan Awie cuba membantu mengangkat adik saya.

“Ajan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB),” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan HKB, dekat sini, semalam.

Mohamed Izzamudin berkata, dia terkejut melihat keadaan adiknya ketika itu apatah lagi pemergiannya tidak menunjukkan sebarang petanda, namun dia reda dengan ketentuan tuhan.

“Walaupun sedih pemergiannya ini ketika umat Islam menunggu kedatangan Ramadan, kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan berdoa semoga roh Ajan ditempatkan bersama golongan orang beriman,” katanya.

Izharuddin meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia 14 hingga 31 tahun.

Allahyarham yang menetap di Jelutong, Georgetown menyertai kumpulan itu empat tahun lalu menggantikan tempat abang sulungnya yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Kumpulan Crosstown ditubuhkan pada 1986 di Pulau Pinang terkenal dengan lagu ‘Pulau Pinang Kita’ yang popular sekitar 1990-an.

Disiarkan pada: June 6, 2016 @ 11:27am
d