mutakhir

Takut separuh mati

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: “Keadaan sangat menakutkan. Pada waktu itu, saya terasa seperti hidup kami semua bakal berakhir,” kata seorang wanita warga Singapura, penumpang pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01 dari London ke Kuala Lumpur.

Pesawat itu dilaporkan mengalami gangguan akibat gelora udara lima minit ketika berada di ruang udara Teluk Bengal, semalam.

Wanita terbabit yang mahu dikenali sebagai Mary, 50, berkata, ketika kejadian, juruterbang mengumumkan supaya semua penumpang duduk di tempat masing-masing serta memakai tali pinggang keselamatan.

“Pada masa sama, kru kabin sibuk menolak troli serta mengedarkan makanan kepada penumpang dan apabila berlaku gegaran ada makanan serta minuman tertumpah.

“Saya terasa pesawat itu terhentak dan ada penumpang terhantuk pada ruang meletak bagasi di bahagian atas,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya, di sini, malam tadi.

Mary berkata, ada pramugari berdiri mengagihkan makanan turut terjatuh dan cedera.

“Selain itu, ada bungkusan makanan terjatuh ke lantai dan selepas itu makanan dan minuman tidak diedarkan kepada penumpang atas faktor keselamatan.

“Bagaimanapun, suasana dalam pesawat kembali tenang dan tiada penumpang mahu pun kru kabin yang panik hinggalah sampai di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan beberapa penumpang dan anak kapal cedera ringan, tetapi MAB enggan mendedahkan jumlah penumpang dan anak kapal yang cedera.

Kenyataan MAB menyebut pesawat Airbus A380 itu selamat mendarat bersama 378 penumpang dan anak kapal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6 petang.

Sejumlah kecil penumpang dan anak kapal yang cedera diberi rawatan oleh pegawai perubatan sebaik pesawat itu mendarat di KLIA.

Kenyataan itu menyebut MAB membantu semua penumpang dan anak kapal dan memohon maaf atas sebarang kesulitan disebabkan keadaan cuaca yang di luar kawalan syarikat itu.

Disiarkan pada: June 6, 2016 @ 11:48am
d