mutakhir

Kutemui cahaya iman

Oleh Mary Victoria Dass

Kota Tinggi: “Hampir tiga tahun saya mengikuti syarahan beberapa pendakwah menerusi YouTube termasuk membaca kisah nabi dan akhirnya hati saya terbuka untuk memeluk agama Allah yang indah ini,” kata saudara baru, Muhammad Johan Abdullah, 28.

Muhammad Johan meluahkan perasaan syukurnya selepas menerima hidayah untuk memeluk Islam sempena Majlis Sambutan Hari Gawai anjuran Persatuan Dayak Muslim Johor Bahru di Sungai Telo, Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Muhammad Johan yang berketurunan suku Iban dan berasal dari Kampung Ulu, Sungai Assan, Sibu, Sarawak berkata, dia tidak menafikan penghijrahannya ke Semenanjung sejak lebih tiga tahun lalu mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menurutnya, penghijrahannya ke negeri ini membolehkan dia mendekati Islam sehingga menganuti agama suci ini.

Katanya, dia yang menjadi anak angkat keluarga bukan Islam sejak kecil lega dan gembira apabila proses pengislaman berkenaan selesai dengan baik.

“Saya graduan peringkat diploma perhotelan dan kini bekerja di bahagian pendawaian banyak belajar berkaitan Islam menerusi Internet.

“Malah, bagi menguji kemampuan untuk bergelar Muslim, saya pernah berpuasa sebelum ini dan berjaya melakukannya dengan keikhlasan hati,” katanya dalam program itu yang menerima tajaan barangan daripada Pasaraya Econsave.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Dayak Muslim Johor Bahru Mohammad Nick Abdullah dan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Mas Imran Adam.

Muhammad Johan yang masih berstatus bujang dan tinggal di Taman Universiti sejak dua tahun lalu berkata, selepas tiga tahun mendalami Islam, akhirnya dia mengambil keputusan memeluk agama itu Sabtu lalu.

Menurutnya, dia bersyukur dapat berkenalan dengan ramai rakan mualaf yang mampu berkongsi amalan sebagai umat Islam.

Katanya, dia juga bersyukur memeluk Islam dua hari sebelum Ramadan dan berharap dapat melaksanakan ibadah puasa tanpa halangan selama sebulan.

“Hajat saya memeluk Islam sebelum Ramadan ini menjadi kenyataan dengan keizinan-Nya.

“Pada mulanya saya berdebar, namun kemudian lancar mengucap dua kalimah syahadah.

“Ia memberikan ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2016 @ 10:48am
d