mutakhir

Gedempol kian bertambah

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Malaysia kini sedang menjurus ke arah sebuah ‘negara gemuk’ apabila dianggarkan lebih 3.3 juta atau 17.7 peratus penduduk berumur 18 tahun ke atas mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Malah, jumlah kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun yang mengalami masalah obesiti juga mencatatkan angka tinggi iaitu satu juta atau 11.9 peratus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, data itu diperolehi hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 yang dilaksanakan terhadap 30,000 responden dari semua peringkat umur di seluruh negara.

“Masalah berat badan itu bukan saja dialami orang dewasa, namun terdapat peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” katanya ketika berucap pada taklimat media mengenai NHMS 2015 di sini, semalam.

Beliau berkata, kajian sama yang dijalankan pada 2006 dan 2011, menunjukkan obesiti rakyat yang berusia bawah 18 tahun masing-masing adalah sebanyak 5.4 peratus dan 6.1 peratus.

“Begitu juga dengan mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang mencatatkan 14 peratus pada 2006 dan 15.1 peratus pada 2011,” katanya.

Katanya, kajian menunjukkan individu yang mempunyai masalah obesiti adalah apabila Indeks Jisim Badan (BMI) mereka adalah 30 kilogram (kg) ke atas.

Sementara itu, katanya mereka yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dengan BMI antara 25 hingga 30kg adalah sebanyak 30 peratus dengan anggaran 5.6 juta penduduk.

Menurutnya, jumlah itu juga meningkat berbanding 2006 dan 2011 masing-masing dengan 29.1 dan 29.4 peratus.

NHMS 2015 adalah tahun pertama bagi pusingan NHMS 2015-2018 dan skop utama kajian adalah penggunaan perkhidmatan kesihatan, penyakit tidak berjangkit, tabiat merokok, tahap aktiviti fizikal, status pemakanan dan obesiti, tabiat pemakanan dan pengambilan alkohol.

Beliau berkata, walaupun masalah obesiti meningkat, laporan NHMS turut menunjukkan kegiatan kesihatan seperti bersenam juga meningkat.

Disiarkan pada: June 7, 2016 @ 11:11am
d