mutakhir

Laluan bertingkat Alor Pongsu dibuka

Bagan Serai: Laluan persimpangan bertingkat Alor Pongsu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat sini, dibuka bagi semua kenderaan secara rasmi jam 10 malam semalam.

Persimpangan bertingkat berkenaan menjadi akses terus dari kawasan Alor Pongsu, Bagan Serai dan Selama bagi memasuki Lebuhraya PLUS.

Ia terletak di Kilometer (KM) 181.4 antara Persimpangan bertingkat Bukit Merah dan Persimpangan bertingkat Bandar Baharu di Lebuhraya Utara Selatan dengan kos pembinaan sekitar RM100 juta. Dilengkapi dengan tol plaza dan reka bentuk persimpangan bertingkat ini jenis trumpet dan disambungkan ke Jalan Bagan Serai-Selama Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelaksanaan ini menjadi impian penduduk di kawasan sekitar Perak dari negeri jiran amnya.

“Kawasan sekitar juga dapat dibangunkan dengan lebih terancang selaras perancangan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan Lembah Beriah satu lagi kawasan pertumbuhan baru di negeri ini,” katanya selepas merasmikannya bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketika ini pengguna PLUS dari utara perlu melalui Persimpangan Bandar Baharu di KM175.46 manakala pengguna dari selatan pula perlu melalui Persimpangan Bukit Merah di KM193.80 untuk menuju ke Alor Pongsu serta kawasan sekitarnya.

Pembukaan laluan baru itu dijangka memberikan penjimatan masa perjalanan arah utara dan selatan ke Alor Pongsu dari 45 minit kepada 10 minit.

Difahamkan, daerah Kampar menjadi lokasi seterusnya pembinaan persimpangan bertingkat di negeri ini.

Disiarkan pada: June 8, 2016 @ 9:58am
d