mutakhir

Pelihara jahitan tulang belut

Johor Bahru: Kisah kejayaannya tidak datang bergolek, bahkan pemilik jenama Teluk Belanga, Jamil Sukaimi pernah melalui fasa sukar ketika mula bertapak dalam industri pembuatan baju Melayu tradisional termasuk bekerja lebih masa untuk mengumpulkan modal.

Bermula sebagai pekerja upahan, anak jati Simpang Renggam, Kluang ini membulatkan tekad menceburi bidang diminati itu dengan berbekalkan kemahiran ketika mengikuti pengajian dalam bidang rekaan fesyen dan jahitan di Institut Kemahiran MARA (IKM) pada 1987 dan 1988.

Katanya, kerjanya mula serius dalam dunia jahitan selepas menamatkan latihan praktikal dalam bidang itu di sebuah butik di Plaza Komtar.

“Tuah menyebelahi saya apabila ditawarkan bekerja sebagi pembantu di situ dengan upah RM500.

“Tugas saya pada permulaan hanya sebagai pemotong baju dan lama-kelamaan selepas lima tahun bekerja di situ saya mahir menjahit pakaian lelaki dan wanita,” katanya.

Berkat bekerja selama 12 jam sehari, dia mengumpul wang RM15,000.

“Saya berhenti dan membuka kedai sendiri di Plaza Kotaraya (kini Galleria Kotaraya) dengan sewa RM500 sebulan,” katanya.

Beliau yang juga anak keempat daripada 13 beradik berkata, pada waktu itu, Plaza Kotaraya tempat popular orang Melayu membeli-belah sama seperti Angsana Mall.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyewa di dalam pusat beli-belah berkenaan, sebaliknya diberi ruang membuka kedai di kaki lima bangunan berkenaan.

“Selepas Plaza Angsana wujud, ramai peniaga mula berpindah ke sana dan dari situ saya dapat peluang menyewa di dalam Plaza Kotaraya sehingga sekarang.

“Kini saya memiliki dua butik termasuk di Danga City Mall dan insya-Allah selepas Aidilfitri ini, sebuah lagi butik akan dibuka di Dataran Larkin,” katanya.

Katanya, lebih manis penyanyi Amy Search bakal berkolaborasi dengan Teluk Belanga untuk mengeluarkan pakaian baju Melayu Johor.

Mengulas lanjut mengenai seni jahitan Tulang Belut, katanya, ia jahitan yang cantik dihasilkan pada baju kurung atau baju Melayu dengan mempunyai leher teluk belanga.

“Jika bukan kita yang buat, siapa lagi yang mahu pelihara seni jahitan Tulang Belut ini, saya tidak mahu ia pupus ditelan masa,” katanya.

Malah lebih membanggakan, Jamil kini dilantik sebagai pereka peribadi untuk kerabat diraja Johor dan bertanggungjawab menghasilkan busana diraja yang beridentitikan negeri Johor iaitu baju kurung Teluk Belanga.

Beliau menasihati mereka yang ingin pergi jauh dalam industri fesyen supaya memiliki kesungguhan dan minat dalam bidang diceburi.

Disiarkan pada: June 8, 2016 @ 10:00am
d