mutakhir

Jalinan prestij

Oleh Nursyahirah Marzuki

Cyberjaya: ZTE Corporation (ZTE), penyedia sistem telekomunikasi, peranti mudah alih dan penyelesaian teknologi perusahaan global dari China memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Multimedia (MMU) bagi menubuhkan sebuah pusat latihan dalam telekomunikasi dan teknologi maklumat.

Ketua Pegawai Eksekutif ZTE Malaysia Steven Ge berkata, melalui kerjasama itu pihaknya dapat memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam sektor pendidikan di negara ini untuk berkongsi pengetahuan praktikal dan pengalaman dalam bidang telekomunikasi.

“Makmal atau pusat latihan yang akan dibina ini mampu memberi peluang kepada masyarakat di negara ini terutama tenaga pengajar dan penuntut MMU untuk mempelajari dan mendalami ilmu praktikal dalam industri telekomunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

“Pusat latihan ini juga bukan hanya terhad kepada warga MMU, tetapi orang awam yang mempunyai ijazah kejuruteraan Teknologi Maklumat dan Informasi (ICT) juga akan diberi peluang untuk menjalani latihan, sekali gus membuka ruang pekerjaan di syarikat kami,” katanya ketika berucap pada Majlis menandatangani MoU antara ZTE dan MMU, di sini, semalam.

Pada majlis itu, ZTE diwakili Steven manakala MMU diwakili Presidennya Prof Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq.

Hadir sama ialah Naib Presiden Universiti ZTE Song Yulin dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Prof Dr Alan Tan Wee Chiat.

Steven berkata, penubuhan pusat latihan itu juga dapat menyediakan latihan kepada pekerjanya selain memberi peluang kepada penuntut MMU untuk menjalani latihan industri selain membuka ruang untuk mereka diserap bekerja.

Sementara itu, Ahmad Rafi berkata, MoU selama lima tahun itu memberi kelebihan kepada pihaknya untuk menyediakan peluang latihan; pengetahuan praktikal dan pengalaman dalam ICT kepada penuntut MMU.

“Penuntut boleh menjalani latihan industri di pusat latihan ZTE yang akan ditubuhkan di kampus cawangan Melaka sebagai pendedahan awal sebelum mereka meninggalkan universiti dan memasuki alam pekerjaan yang sebenar.

“Dalam tempoh ini juga kita akan memperluaskan lagi kerjasama dalam pelbagai aspek seperti penyelidikan dan pembangunan (RND) dalam industri ICT selaras dengan keperluan dan kehendak industri,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2016 @ 10:29am
d