mutakhir

Bagaikan mimpi

Oleh Syahid Sokri

Alor Setar: Seorang suri rumah bagaikan bermimpi apabila dimaklumkan menerusi telefon dia memenangi Perodua Axia menerusi cabutan bulanan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 31 Mei lalu.

Bagaimanapun, Lee Guek Leng, 47, yang bimbang menjadi mangsa penipuan pergi ke cawangan BSN terdekat untuk membuat pengesahan sebelum terkejut apabila dimaklumkan memenangi hadiah itu.

“Saya pada mulanya bimbang apabila dihubungi melalui telefon kerana menyangka ia penipuan scam, namun terkejut apabila ia benar selepas memenangi cabutan bulanan Mei hasil pembelian SSP BSN pada 2013 bernilai RM12,000.

“Saya tidak pernah menyangka azam saya menyimpan wang untuk kegunaan masa depan membuahkan hasil yang baik dan mendapat sebuah kereta percuma,” katanya pada Majlis Penyerahan Hadiah SSP Cabutan Tempatan di BSN Alor Setar, semalam.

Menurutnya, walaupun pada awalnya dia tidak pernah terfikir memenangi kereta, dia berterima kasih kepada pihak BSN kerana menganjurkan cabutan bertuah seperti itu.

“Selain itu, ia adalah penghargaan utama kepada penyimpan yang sentiasa mempercayai perkhidmatan bank yang kami gunakan selama lebih 25 tahun itu.

“Bayangkan saya hanya membeli sijil simpanan premium, tetapi pulangan yang saya dapat adalah lebih banyak dan bernilai daripada itu,” kata ibu kepada tiga anak.

Disiarkan pada: June 8, 2016 @ 10:39am
d