mutakhir

Kapal tunda hanyut rempuh jambatan

Port Dickson: Orang ramai yang melalui Jambatan Kuala Linggi di sini, panik apabila merasai gegaran akibat jambatan berkenaan dirempuh sebuah kapal penunda yang putus tali, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, kapal penunda terbabit dipercayai terputus tali sebelum dihanyutkan kerana ketika itu air pasang besar.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan kerosakan teruk pada jambatan dan kapal berkenaan.

Saksi kejadian, Suzila Mustapha, 29, berkata, kejadian terbabit mengejutkan ramai pengguna jalan raya yang melalui jambatan menghubungkan Port Dickson dan Melaka itu.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah yang terletak tidak jauh dari jambatan berkenaan.

“Saya turut merasai gegaran itu dan selepas dimaklumkan ada kapal penunda melanggar jambatan, saya bergegas ke lokasi untuk melihat kejadian.

“Saya dimaklumkan kapal penunda itu putus tali sebelum dihanyutkan arus. Kapal penunda itu tidak mempunyai enjin dan ia hanya ditarik kapal bagi tujuan membawa muatan seperti pasir atau sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Kuala Linggi Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kapal penunda berkenaan milik Alam Maritim yang terputus talinya sebelum hanyut dan tersangkut pada jambatan berkenaan.

Disiarkan pada: June 8, 2016 @ 11:21am
d