mutakhir

Tukang cat dituduh miliki kertas militan

Petaling Jaya: Seorang tukang cat kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya di atas tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daish, Mac lalu.

Muhammad Aizam Mat Zin, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Aizam didakwa memiliki 65 keping kertas berukuran A3 dan tiga keping kertas berpelekat berukuran A4 yang berkaitan kumpulan pengganas Daish.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di No 27 Jalan PUJ1/14, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan dekat sini pada jam 6.20 pagi, 27 Mac lalu.

Dakwaan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana barangan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: June 9, 2016 @ 10:54am
d