mutakhir

Lidah boleh bermandarin

Kuala Kangsar: Kebolehan bertutur bahasa Mandarin digunakan sebaik-baiknya oleh calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad ketika kempen mendekati masyarakat Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Malah, kebolehan itu memberi kelebihan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Perak itu yang dilihat berjaya mendekati masyarakat berkenaan untuk menerangkan agendanya.

Menurutnya, beliau tidak begitu fasih, namun kebolehan bertutur bahasa itu sedikit sebanyak memudahkannya dan jentera untuk mendekati pengundi Cina.

“Sepanjang tempoh kempen, saya dapat rasa penerimaan mereka amat baik kepada kami (PAS) dan berharap sokongan ini kekal hingga hari mengundi,” katanya yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Gunung Semanggol, Taiping.

Dalam kunjungannya ke beberapa lokasi kempen sejak Ahad lalu, beliau dilihat menggunakan kelebihan itu untuk menyampaikan mesej kempen dan manifesto jika dipilih sebagai calon.

Antaranya termasuk hasratnya membuka Pusat Khidmat Wakil Rakyat di Parlimen Kuala Kangsar jika dipilih sebagai wakil rakyat baru di Bandar Diraja ini.

Disiarkan pada: June 9, 2016 @ 10:59am
d