mutakhir

Rezeki Abang Misai tak putus

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpu: “Gelaran Abang Misai sebati dalam kalangan pelanggan dan ia sedikit sebanyak melariskan perniagaan ikan bakar saya di bazar Ramadan ini,” kata peniaga ikan bakar, Sufi Mus.

Sufi, 39, berkata, nama jolokan itu diterimanya sejak menjalankan perniagaan di Bazar Ramadan Kampung Baru, 10 tahun lalu.

Sufi yang menjual ikan bakar siakap, cencaru, pari, terubuk, tilapia dan bawal berkata, dia tidak kisah dikenali dengan nama Abang Misai kerana ia mendekatkan dirinya dengan pelanggan.

“Pada tahun pertama, perniagaan saya kurang mendapat sambutan apabila hanya dapat menjual kurang daripada lima kilogram (kg) ikan bakar setiap hari.

“Lama-kelamaan, sambutan diterima semakin menggalakkan dan antara sebab mereka mengingati saya adalah kerana memiliki misai,” katanya.

Berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan, Sufi yang juga seorang tukang masak di restoran tekad membuka gerai di Bazar Ramadan Kampung Baru pada tahun ini.

Katanya, dia bagaimanapun tidak keseorangan menjalankan perniagaan itu, tetapi dibantu isteri dan anaknya.

“Seawal jam 4 petang, pelanggan mula berkunjung ke gerai saya dan kebiasaannya makanan habis dijual sejam sebelum waktu berbuka puasa.

“Sebagai peniaga, saya puas hati apabila perniagaan laris dan pelanggan datang lagi keesokan harinya.

“Ia menjadikan saya bersemangat berniaga dan menyediakan juadah untuk mereka yang ingin berbuka puasa terutama penggemar ikan bakar di sekitar ibu kota ini,” katanya yang menjual ikan bakar pada harga antara RM4 hingga RM25 seekor.

Disiarkan pada: June 9, 2016 @ 11:18am
d