mutakhir

Shahril yakin BN menang

Oleh myMetro

Kuala Kangsar: Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar kerana beliau memang dikenali pengundi biarpun ada pihak menganggapnya orang luar.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahril Abdul Samad berkata, balu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu sudah biasa mengikut suaminya menemui pengundi dan orang ramai sebelum ini.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan dirinya ketika kali pertama dicalonkan bertanding mewakili BN di kerusi Parlimen Johor Bahru pada 1978.

“Berbeza saya dengan Mastura, masa saya jadi calon di Johor Bahru tahun 1978, orang Johor Bahru yang kenal saya satu peratus tapi kali ini di Kuala Kangsar berbeza sangat.

“Mastura lebih dikenali masyarakat,” katanya pada sidang media bersama calon BN itu di kediamannya di sini, semalam. Hadir sama Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar Mohd Kamil Shafei.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, daripada pertambahan 8,000 pengundi baru antara dua Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13, BN Kuala Kangsar memperoleh 50 peratus.

“Kalau dibandingkan dengan kawasan Parlimen lain, syer diperoleh tidak seperti itu,” katanya.

“Macam di Johor Bahru sendiri, saya hanya dapat pertambahan pengundi baru dalam 10 peratus tetapi di Kuala Kangsar dapat 50 peratus. Saya rasa itu menunjukkan kekuatan BN dan komponen.

“Jadi kekuatan parti itu memang sudah ada, ia tak jadi masalah soal siapa yang jadi calon,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2016 @ 8:54am
d