mutakhir

Jual kek lapis ke California

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Program e-usahawan dan e-rezeki dilaksanakan kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) melahirkan ramai usahawan muda dan mereka berpotensi besar menjadi peneraju di peringkat global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan itu dalam sesi jawab santai bersama pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Catcha Group, Patrick Grove sempena Persidangan Wild Digital di sini, semalam.

Menurutnya, ditambah persekitaran yang menggalakkan termasuk bantuan kerajaan, banyak kisah kejayaan usahawan muda yang boleh dikongsikan sebagai inspirasi.

“Saya tertarik dengan program e-rezeki dan e-usahawan ini dan menggalakkan usahawan muda ini menceburi bidang e-dagang ini.

“Baru-baru ini, di Pilihan Raya Negeri Sarawak, saya berkunjung ke sebuah kedai kek lapis. Pemiliknya menampal gambar dia pergi melancong ke selatan California.

“Dia mampu pergi bercuti dengan hanya jual kek lapis serta menjalankan e-dagang,” katanya sambil menegaskan kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap ekonomi berasaskan Internet.

Persidangan Wild Digital 2016 selama dua hari itu dihadiri usahawan, pelabur dan eksekutif kanan digital terkemuka dari rantau ini dan sekitarnya.

Ketika sesi bermula, Patrick selaku moderator menghadiahkan Najib jaket ‘hoodie’ warna kelabu tertera perkataan #DaBoss di belakangnya dan Perdana Menteri secara spontan membuka blazer hitam dan tali leher lalu mengenakan jaket berkenaan hingga menerima tepukan gemuruh hadirin.

Ditanya mengenai aplikasi yang dimuat turun, Najib berkata, beliau memilih muzik dalam talian dan antara penggemar lagu rancak Motown serta Lionel Richie serta Bruno Mars.

Najib berkata, permainan interaktif digemari beliau pula adalah ‘Hangman’ dan menjelaskan beliau sendiri mengendalikan akaun Twitternya di samping mempunyai satu pasukan khusus untuk membantu memuat naik status ketika sibuk.

Disiarkan pada: June 10, 2016 @ 9:08am
d