mutakhir

Pembekal daging liar

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Lebih 150 kilogram daging termasuk bahagian badan beberapa spesies hidupan liar ditemui disimpan dalam tiga peti beku di dua kediaman di Tanjung Sepat, dekat sini, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 4 petang itu dilakukan sekumpulan anggota dan pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Pelesenan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor.

Pengarah PERHILITAN Selangor Abd Rahim Othman berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya memecah masuk dua premis itu dengan bantuan anggota polis dari balai polis berhampiran.

Beliau berkata, rumah itu dipercayai menyimpan bahagian badan serta daging beberapa spesies hidupan liar.

“Hasil pemeriksaan kita menemui sejumlah daging dan bahagian badan dipercayai hidupan liar yang diletakkan dalam dua unit peti beku berasingan dan seunit peti besi dua pintu di dalam dua premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 102.5 kilogram (kg) daging beku disyaki daging babi hutan, anggota badan hidupan liar disyaki beruang matahari (6.3 kg) dan 41.3 kg daging beku disyaki daging hidupan liar yang belum dikenalpasti lagi,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika serbuan pemilik rumah itu tiada namun pihaknya sudah mengenalpastinya.

Katanya, siasatan sedang dijalankan dari mana pemilik rumah itu memperoleh daging dan bahagian badan spesies hidupan liar itu yang juga spesies dilindungi.

Menurutnya, daging serta anggota badan hidupan liar itu dipercayai untuk bekalan di restoran serta kedai makan yang menawarkan hidangan berasaskan daging berkenaan.

Disiarkan pada: June 10, 2016 @ 10:32am
d