mutakhir

Rempit waktu sahur

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Seramai kira-kira 160 mat rempit bagai tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan apabila berlumba dan merempit di Pekan Cina, di sini, semalam, sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Berikutan itu, sekumpulan pegawai dan anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Trafik Kota Setar menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan itu.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi itu, polis menahan 133 motosikal dan memeriksa 198 orang berusia 16 hingga 30-an.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, seramai 16 pegawai dan anggota polis trafik dibantu empat anggota Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM), bertindak menyerbu lokasi itu yang menjadi tumpuan mat rempit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu, pihaknya mengeluarkan 75 saman membabitkan 98 kesalahan trafik.

“Pecahan kesalahan trafik itu membabitkan nombor plat (18), salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak lapan kesalahan, tidak memakai topi keledar satu, tidak papar tanda L (2), lesen tamat tempoh (15), tidak papar tanda P (14), ubah suai motosikal (32) dan remaja bawah umur seorang.

“Kita turut menyita 12 motosikal kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Mohd Rozi berkata, dalam pemeriksaan itu, pihaknya turut menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berasal dari Alor Mengkudu kerana mempunyai waran tangkap.

“Ketika operasi, satu kemalangan terjadi membabitkan kereta dengan sebuah motosikal di jambatan Pekan Cina.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas penunggang motosikal kerana tiada lesen memandu,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2016 @ 9:37am
d