mutakhir

'Sini saja syurga kami'

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

Kota Bharu: Luarannya sebuah kawasan di Kampung Kuali, Kok Lanas, di sini, adalah tapak pelupusan sampah yang penuh dengan sisa buangan domestik.

Persekitarannya jauh dari masyarakat, berbau dan penuh lalat hingga sesiapa pun tidak menyangka akan ada insan yang sanggup menghuni kawasan itu.

Namun, keadaan itu terpaksa dilalui empat beranak memandangkan
di celah timbunan sampah sarap berkenaan terdapat punca rezeki yang buat pengemudi keluarga terbabit.

Mohd Razali Mohd Suhaimi, 36, dan isteri, Rafiah Abdullah, 26, bekerja mengutip bahan kitar semula dan sudah tiga tahun membawa dua anak mereka, Nur Alisa Nadia, 5, dan Amirul Fahmi, 3, menetap di bangsal buruk dekat kawasan itu.

Langkah itu menyenangkan mereka untuk mencari bahan buangan, namun peritnya apabila terpaksa menahan bauan serta persekitaran yang kurang elok.

“Siapa yang sanggup lihat anak dan isteri hidup di tempat yang busuk dan tidak selesa, namun saya tidak tahu hendak ke mana lagi kerana tidak mampu mencari rumah lain untuk disewa.

“Sebelum ini kami tinggal di rumah orang tua, namun berpindah keluar kerana tidak mahu menyusahkan mereka dengan masalah kami.

“Di kawasan ini kami mencari rezeki dan saya terpaksa membawa mereka bersama. Walau ada yang memandang hina, tetapi saya sudah tidak kisah apa pandangan manusia lain.

“Asalkan tidak mencuri dan saya hanya mengutip barang dan mencari rezeki halal, cukup untuk saya sara keluarga,” katanya ketika ditemui di bangsalnya, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga sudah lali berteduh di situ dan bangsal buruk yang kerap dibaiki itulah ‘syurga’ mereka.

Mohd Razali berkata, dia akan mula mengutip bahan kitar semula bermula pagi hingga petang atau malam dan menjual barangan itu kepada orang tengah untuk dijual ke pusat kitar semula.

Katanya, dia akan dibayar 40 sen untuk sekilogram bahan yang dikumpulkan dan mengakui tidak mampu ‘membuat duit’ dengan jualan itu.

“Sehari berapa saja yang kami boleh dapat, tetapi kalau tidak berusaha, memang tiadalah pendapatan. Maka sebab itu saya usahakan mencari barang kitar semula ini,” katanya.

Dakwanya, dia hanya memiliki kad pemastautin sementara sedangkan dia bukan warga asing kerana dilahirkan di sini.

“Orang tua mempunyai masalah untuk mendaftarkan kelahiran saya dulu menyebabkan saya tidak mempunyai MyKad.

“Kini anak bongsu, Amirul Fahmi juga tidak mempunyai sijil lahir kerana masalah untuk menguruskannya ketika dia dilahirkan. Saya ikhtiar juga untuk dapatkan dokumen kami, tapi masalah kewangan membantutkan segala-galanya,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2016 @ 9:50am
d