mutakhir

Hasil jualan hangus

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: “Ketika itu, saya hanya memikirkan keselamatan ahli keluarga dan tidak sempat menyelamatkan satu barang pun temasuk wang hasil jualan bazar Ramadan yang disimpan ibu,” kata Noorrulazian Othman, 40, mangsa kebakaran rumah di Kampung Telaga Daing, di sini, kelmarin.

Berikutan kejadian itu, dia bersama ibu bapa dan lima adik-beradiknya tinggal sehelai sepinggang apabila semua harta benda dan pakaian hangus dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu.

“Buat masa ini, kami tidak mampu memikirkan bagaimana hendak hadapi semua itu.

“Semua duit hasil simpanan jualan bazar Ramadan menjadi abu. Walaupun sedih dengan apa yang menimpa, kami reda kerana mungkin ada hikmat di sebalik kejadian ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, Noorrulazian serta tujuh anggota keluarga termasuk ibu dan bapanya berada di dapur kerana sibuk menyiapkan juadah untuk jualan di Bazar Ramadan Teluk Ketapang sebelum terdengar bunyi dentuman dari tingkat atas rumah.

“Bimbang kejadian buruk berlaku, saya kemudian segera ke tingkat atas bersama bapa, Othman Bashah Salleh, 68, dan terkejut apabila melihat api sudah marak membakar bahagian bumbung dan mula merebak ke bahagian dinding rumah,” katanya.

Katanya, sebelum itu, dia terhidu bau seperti benda hangus tetapi menyangka jiran membakar sampah dan tidak syak kejadian buruk berlaku.

“Tetapi selepas mendengar bunyi dentuman itu, saya berasa tidak sedap hati dan naik ke tingkat atas untuk melihat apa sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Noorulazian berkata, melihat kebakaran itu, dia kemudian terus ke dapur dan menanggalkan paip pada tabung gas bagi mengelakkan berlaku letupan dan mengarahkan keluarga segera keluar rumah.

Katanya, walaupun semua harta benda musnah tetapi dia tetap bersyukur kerana ahli keluarganya selamat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Ahmad Fatahi Abd Rahman berkata, sebaik menerima panggilan kebakaran, sebanyak empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan anggota seramai 20 orang termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Kuala Nerus.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, api marak membakar keseluruhan kediaman dua tingkat yang disewa dua keluarga membabitkan 10 penghuni,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kediaman lain.

Beliau berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Disiarkan pada: June 12, 2016 @ 5:06am
d