mutakhir

Cabut kerusi baling

Miri: Sekumpulan penjenayah umpama meniru babak filem aksi dengan mencabut sebelum mencampakkan kerusi belakang Perodua Kancil dinaiki serta perkakas kereta itu ke arah anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang mengejar mereka di Jalan Miri-Bintulu berdekatan Bekenu, di sini, jam 3 pagi, Khamis lalu.

Sumber berkata, penjenayah mencampak barangan terbabit bagi menghalang laluan anggota MPV yang mengejar mereka.

“Kumpulan penjenayah terbabit dengan kes samun dan curi kenderaan. Suspek mencuri Perodua Kancil berkenaan di bandar raya ini sebelum cuba memecah masuk sebuah rumah berdekatan Merdeka Mall, di sini.

“Bagaimanapun, kejadian disedari orang awam yang kemudiannya menghubungi polis. Kami bergegas ke lokasi sebelum terserempak dengan penjenayah. Mereka terus memecut apabila melihat kehadiran kami,” katanya, semalam.

Menurut sumber, penjenayah enggan memberhentikan kereta ketika diminta berbuat demikian menyebabkan anggota MPV mengejar mereka sejauh kira-kira 20 kilometer sebelum dipintas.

Sumber berkata, selepas dipintas, polis menahan seorang lelaki dan wanita berusia 30-an. Suspek ketiga yang juga lelaki dapat melarikan diri.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri dan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Disiarkan pada: June 12, 2016 @ 5:13am
d