mutakhir

Jaga adab ketika berkempen

Oleh myMetro

Sungai Besar: “Kalau nak kempen, kempenlah asalkan menjaga adab dalam Islam dan menjaga hukum agama.

Jangan sesekali dalam berkempen menghamburkan kata-kata nista, kesat, caci maki, fitnah dan menghasut kerana tindakan itu merosakkan pada bulan yang mulia ini,” nasihat penceramah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias kepada semua calon parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Menurutnya, tindakan memfitnah serta menghamburkan kata-kata kesat hanya akan merosakkan pahala Ramadan serta menyemai rasa kebencian masyarakat terhadap individu tertentu.

“Sebagai ahli politik, berbuat baiklah sesama manusia, jangan balas dendam jika mereka tidak memberi sokongan kepada kita.

“Lihat contoh Saidina Abu Bakar RA yang tetap membantu seorang rakyatnya biarpun lelaki itu memfitnah anaknya iaitu Siti Aisyah.

“Keperibadian beliau sangat terpuji kerana tidak membalas apa yang sudah dilakukan oleh pemfitnah itu. Itu juga boleh dijadikan contoh kepada orang politik,” katanya dalam ceramah perdana di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, Kazim turut menyeru kepada pimpinan politik beragama Islam supaya duduk di bawah satu payung dan tidak berpecah belah.

“Perintah bersatu itu bukan datang daripada saya, ia perintah Allah. Allah menyuruh kita bersatu, jika kamu tolak perintah ini bermakna kamu menolak Allah.

“Kita perlu bersatu. Ketepikan warna bendera, warna politik. Kita duduk elok-elok dalam satu jemaah berteraskan Islam dan berbincang untuk memajukan agenda Islam,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2016 @ 7:32am
d