mutakhir

Kad ucapan Aidilfitri kian dilupakan

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Semakin dilupakan, tetapi masih bertahan.

Itu yang boleh diperkatakan mengenai tradisi menjual, membeli dan menghantar kad ucapan Aidilfitri.

Tinjauan Harian Metro di kedai buku sekitar Kuala Lumpur mendapati masih ada yang menjual kad ucapan Aidilfitri walaupun kurang mendapat sambutan.

Menurut pekerja kedai buku di Jalan Pudu, Siti Zarina Kamaruddin, 22, majikannya hanya mengambil kad ucapan Aidilfitri yang berharga tidak lebih RM5.

“Kedai kami hanya menjual lima jenis kad ucapan Aidilfitri dengan harga RM3.50 hingga RM5 berikutan tidak banyak permintaan daripada pelanggan,” katanya.

Pengusaha kedai buku di Jalan Tun Razak, Rashid Abdullah, 50, berkata, sudah empat tahun kedainya tidak mengambil stok kad ucapan Aidilfitri.

“Tidak ramai pelanggan yang membeli kad ucapan Aidilfitri. Tahun ini tahun keempat saya tidak menjual kad itu,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui mengakui perubahan zaman dan perkembangan teknologi menyebabkan kad ucapan Aidilfitri semakin dilupakan.

Pesara guru, Masita Harun, 62, berkata, bukan golongan muda saja menggunakan teknologi terkini seperti WhatsApp dan Facebook sebagai alternatif menyampaikan ucapan Aildilfitri kerana ia sudah dipraktikkan oleh semua peringkat umur.

“Menyampaikan ucapan dengan menggunakan aplikasi lebih mudah, murah dan cepat.

“Jika dahulu, kita jadikan kad ucapan yang dihantar oleh sahabat dan saudara-mara sebagai hiasan, tetapi kini tiada lagi,” katanya.

Jurutera, Haris Syukur, 27, berkata, kad ucapan sesuatu yang bermakna, tetapi ia dianggap tidak relevan dengan perkembangan semasa.

“Teknologi kini mengubah segala-segalanya kerana masyarakat lebih kreatif menghantar ucapan Aidilfitri melalui e-kad, aplikasi telefon pintar dan media sosial,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2016 @ 10:11am
d