mutakhir

Angin ahmar ragut tanggungjawab suami

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: “Selaku ketua keluarga, sepatutnya saya perlu memikul tanggungjawab menanggung ibu, isteri serta anak-anak namun mereka pula yang terpaksa menjaga saya,” kata Mohd Yuzaini Mohd Mahali, 46, yang terlantar sakit akibat penyakit angin ahmar.

Mohd Yuzaini yang bekerja sebagai pemandu bas ekspres diserang angin ahmar pada awal Februari lalu dan terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian tempurung kepalanya kerana berlaku pendarahan di kepala akibat terjatuh.

Sejak dia diserang penyakit itu, isterinya, Rauharofzazila Ahmad, 46, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta terpaksa memikul tanggungjawab menyara enam anak mereka.

“Saya kasihan melihat isteri kerana terpaksa mengambil peranan saya sebagai ketua keluarga.

“Malah, dia juga perlu menjaga ibu, Siti Rohani Johari, 73, dan adik lelaki, Muhd Fairuz, 33, yang disahkan mempunyai ketumbuhan di kepala sekali gus memerlukan penjagaan rapi.

“Sebelum ini saya menjalankan semua tugas itu, namun kini isteri pula bertungkus-lumus menyediakan keperluan berkenaan.

“Kesungguhan dia membuatkan saya bersemangat untuk pulih seperti biasa agar dapat mengambil alih semula tanggungjawab itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves, di sini, semalam.

Isu kesihatan dialaminya juga menyebabkan dia berdepan masalah kewangan kerana pendapatan isteri lebih RM1,000 sebulan tidak mampu menampung keperluan harian mereka.

“Jumlah itu pastinya tidak mencukupi kerana kami mempunyai banyak komitmen seperti pembayaran rumah dan kereta selain menyediakan persiapan raya untuk anak-anak.

“Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan ke akaun Public Bank Berhad isteri yang bernombor 6084128635,” katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2016 @ 10:23am
d