mutakhir

Program rai anggota keselamatan [METROTV]

Johor Bahru: Bagi menghargai anggota keselamatan, Persatuan Usahawan Muslimah Johor (PUMJ) dan Kelab Pemilik Motosikal Versys Johor (JVOG) menganjurkan program Singgah Sahur Ramadan Raudhah Di Hati Bersama Wira 2016 semalam.

Seramai 15 ahli PUMJ dan disertai Finalis Pencarian Ikon Muslimah Johor bersama 25 penunggang motosikal berkuasa tinggi berkonvoi menuju tujuh lokasi terpilih bagi mengagihkan juadah sahur.

Antara destinasi termasuk bilik operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bandar Baru Uda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan lima lokasi sekatan jalan raya di sekitar bandar raya ini serta Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

Pengerusi PUMJ Rozita Mohd Sanusi berkata, program julung kali itu sebagai pengisian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan sempena Ramadan.

“Ramadan kali ini kami tampil dengan kelainan yang menjadi platform kepada usahawan Muslimah dan pemilik motosikal berkuasa tinggi untuk menghargai tugas anggota keselamatan dan penyelamat penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, program itu bertujuan menghargai sumbangan petugas yang menjaga keselamatan negara meskipun orang lain nyenyak tidur pada waktu itu.

“Insya-Allah sekiranya diberikan kesempatan bertemu dengan Ramadan tahun depan, kami berhasrat memperluaskan program ini ke lebih banyak destinasi termasuklah rumah kebajikan.

“Biarpun tempoh masa agak terhad, namun kemesraan dapat dirasai dan yang lebih penting matlamat asal program ini untuk kami berjumpa, bersembang dan bertanya khabar dengan mereka yang selama ini menyumbang dalam membantu rakyat amnya,” katanya.

Katanya, atur cara yang bermula di Chamek Kopitiam GP Prima, Gelang Patah pada 12 tengah malam itu berakhir jam 4 pagi di lokasi yang sama.

Disiarkan pada: June 13, 2016 @ 10:34am
d