mutakhir

Kembar Parlimen Tambun

Oleh myMetro

Kuala Kangsar: Parlimen Kuala Kangsar akan menjadi kembar Parlimen Tambun dengan tumpuan khusus akan diberikan bagi menyelesaikan masalah penduduk.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohd Hanadzlah berkata, kembar dimaksudkan merangkumi bantuan, permintaan dan pandangan akan diberikan perhatian sewajarnya.

Menurutnya, ketika ini, Parlimen Tambun juga menjadi kembar kepada parlimen yang diwakili Timbalan Perdana Menteri Singapura sejak lapan tahun lalu.

“Dalam beberapa tahun sekali, dia akan bawa rakan kami datang ke Tambun untuk pelbagai program dan dari situ, kita belajar budaya mereka.

“Sebelum ini, Tambun berkembar dengan Teluk Intan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) dan semuanya berjalan dengan baik dan cukup harmoni,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin dan Masyarakat India Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Mengenai PRK Kuala Kangsar, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, penerimaan masyarakat India di kawasan itu begitu baik dan mereka memahami aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.

“Saya jumpa masyarakat Melayu, Cina dan India juga. Saya tengok, ia memang positif. Kita ada program transformasi negara yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Kami kaji di mana kelemahan kita, kalau kita nak maju ke depan, kena tengok kelemahan dan kita lakukan transformasi,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2016 @ 7:27am
d