mutakhir

SK Binjai Jaya dapat RM50,000

Oleh Hairulazim Mahmud

Sungai Besar: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk Sekolah Kebangsaan Binjai Jaya.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi membolehkan sekolah berkenaan menaik taraf prasarana sedia ada untuk kemudahan guru dan murid.

Katanya, kementerian sentiasa mengambil kira keperluan 10,000 sekolah dan lima juta murid di seluruh negara.

“Tetapi kita akan mendahulukan kepada keperluan yang utama terlebih dulu,” katanya ketika berucap merasmikan Asrama Desa sekolah berkenaan, semalam.

Asrama berkenaan mula digunakan pada 4 Januari 2012 yang memiliki kemudahan sebuah dewan makan untuk kemudahan 200 murid.

Pada masa ini, jumlah murid yang mendiami asrama itu seramai 65 orang yang kebanyakannya daripada keluarga miskin.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, kejayaan dalam pendidikan sejak merdeka ialah memerangi kemiskinan, kejahilan dan kedaifan.

Beliau berkata, kejayaan mengatasi tiga aspek itu menjadi asas kukuh kepada masyarakat maju dalam pendidikan.

Katanya, ibu bapa hari ini mahu memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak mereka.

Menurutnya, sikap ‘asal ada’ yang pada ibu bapa generasi lalu kini tiada lagi mengakibatkan cabaran dan saingan untuk memperoleh pendidikan terbaik amat kritikal.

“Semua pihak termasuk ibu bapa dan guru mesti memainkan peranan dalam memastikan sistem pendidikan kepada anak kita adalah pada tahap terbaik bagi melahirkan generasi berguna pada masa hadapan,” katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2016 @ 7:32am
d