mutakhir

Kubang penyakit

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Penemuan lubang tempat khinzir berkubang dipercayai punca seorang kanak-kanak lelaki disyaki dijangkiti virus Japanese Encephalitis (JE) di Kampung Dioh, di sini, semalam.

Lubang itu ditemui 100 meter dari rumah mangsa dan sering menjadi tempat binatang liar mencari makan termasuk khinzir.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Dioh, Azaman Abdullah, 60, berkata, persekitaran rumah berhampiran belukar menyebabkan binatang liar keluar mencari makan.

“Sebelum ini, kawasan rumah berkenaan tidak mempunyai pagar dan sering dimasuki binatang liar lain termasuk khinzir. Dulu kawasan ini dijadikan sawah padi, namun bertukar kepada dusun buah-buahan.

“Jadi, mungkin sumber makanan yang terdapat di sini menjadi tarikan binatang liar untuk datang. Antaranya rebung dan cacing yang dikenal pasti berada di di lokasi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan virus itu disebarkan babi hutan.

“Bagaimanapun, buat masa ini kami belum mengenal pasti punca sebenar virus itu. Kita perlu menunggu pengesahan makmal sama ada mangsa sememangnya dijangkiti JE atau tidak sebelum membuat tindakan susulan,” katanya.

Dalam kejadian 18 Mei lalu, kanak-kanak lelaki dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) selepas disyaki dijangkiti JE.

Dr Abdul Rahim berkata, kanak-kanak itu adalah kes ketiga dilaporkan tahun ini selepas dua kanak-kanak dari Kuala Pilah dan Jelebu disahkan menghidap JE sebelum ini, namun tiada kematian dilaporkan.

Menurutnya, dalam kes terbaru, mangsa menetap di Kuala Pilah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sebelum dipindahkan ke HTJ, 20 Mei lalu.

“Mangsa dirujuk ke HTJ selepas pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai simptom jangkitan JE dan keadaannya bertambah kritikal.

Difahamkan, kali terakhir kes itu dilaporkan berlaku di negeri ini pada 2014 membabitkan tiga kes dengan satu kematian di daerah Seremban.

Disiarkan pada: June 14, 2016 @ 9:29am
d