mutakhir

Taja empat kenderaan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Isuzu Malaysia Sdn Bhd menaja empat kenderaan iaitu dua trak pikap dan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) sebagai pengangkutan rasmi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2016 sepanjang Ramadan ini.

Empat kenderaan itu model Isuzu MU-X dan D-MAX untuk digunakan bagi mengiringi rombongan TKHM di Alor Pongsu, Perak serta Senawang, Negeri Sembilan pada 17 dan 25 Jun ini.

Menurut Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Hajime Machimura, sebagai peneraju syarikat automatif, pihaknya prihatin dengan keperluan masyarakat terutama yang kurang bernasib baik.

Kata Machimura, tajaan kenderaan itu sebahagian kerjasama bersama media dalam usaha memberi sokongan terhadap program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dijalankan.

"Isuzu Malaysia memberi sokongan penuh dalam menjayakan program amal ini dan membantu memudahkan perjalanan rombongan seperti dijalankan beberapa tahun lalu.

"Kami gembira kerana sekali lagi berpeluang bekerjasama dengan Harian Metro dan berharap supaya TKHM terus membawa keceriaan kepada golongan berkenaan khususnya kanak-kanak ketika mengunjungi dua lokasi terbabit.

"Semoga kerjasama seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya.

Tajaan diserahkan sendiri Machimura kepada Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/ BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi TKHM Othman Mamat di Balai Berita, Bangsar, semalam.

Sementara itu, TKHM 2016 kali kesembilan diadakan dengan edisi pertama pada 2008.

Kata Othman, objektif utama TKHM diadakan untuk membantu golongan kurang bernasib baik seperti keluarga miskin, ibu tunggal serta anak yatim.

Katanya, selain ISUZU, TKHM kali ini turut mendapat kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu Datuk Sham Mat Sahat.

Disiarkan pada: June 14, 2016 @ 9:54am
d